Sunday, September 2, 2012

Guru Meliwat Murid dan Implikasinya Terhadap Dunia Pendidikan


1.     Pengenalan

Guru, ustaz, ‘teacher’, ‘sir’, ‘lau shi’ dan juga mualim merupakan perkataan-perkataan yang berbeza pada dasarnya namun membawa satu definisi yang sama, iaitu individu yang mendidik individu lain secara terlatih dan mempunyai pengetahuan yang luas mengenainya. Dalam kelompok masyarakat, guru dianggap sangat mulia kerana tugas bagi seorang guru adalah mendidik serta mencorakkan kanak-kanak untuk menjadi insan yang berguna di masa hadapan. Maka, tidak hairanlah jika seseorang yang bergelar guru itu, tetap disanjung tinggi walaupun sudah bersara dari perkhidmatannya.

Menurut kepercayaan yang diamalkan oleh masyarakat, guru dianggap sebagai pengganti ibu bapa dalam membentuk tingkah laku dan keperibadian kanak-kanak. Hal ini disebabkan kanak-kanak mempunyai tempoh masa yang panjang bersama guru di sekolah, iaitu selama tujuh jam sehari secara puratanya, lantaran itu, tidak hairanlah mengapa tugas mengawasi anak-anak turut digalas oleh seorang guru.

Etika bermaksud suatu perwatakan atau tingkah laku yang menerangkan nilai baik dan buruk mengenai sesuatu tindakan. Etika dalam bidang keguruan pulan bermaksud satu garis panduan mengenai tingkah laku yang dipamerkan oleh seorang guru berlandaskan prinsip-prinsip yang terdapat dalam garis panduan yang perlu dipatuhi oleh penjawat awam.


2.     Kod Etika Keguruan

Setiap guru di negara ini terikat dengan kod etika amalan professional yang perlu diterapkan sepanjang berkhidmat sebagai seorang guru. Perkataan etika berasal daripada perkataan Greek iaitu perwatakan atau keperibadian. Etika menurut pandangan sarjana barat, J.LMackie pula menganggap etika sebagai suatu disiplin yang dapat menerangkan baik buruk sesuatu perbuatan serta menyediakan garis-garis perbezaan antara kebaikan dan keburukan seseorang, (Syed Ismail bin syed Mustapa, 2010).

Etika professional pula bermaksud suatu panduan mengenai sesuatu nilai, tatacara bidang tugas dan kuatiliti moral, (Syed Ismail bin Syed Mustapa, 2010). INTAN (1994) menyatakan bahawa etika merujuk kepada akauntibiliti dan impilikasi tingkah laku seseorang terhadap masyarakat sekelompok. Kesimpulannya etika merujuk kepada nilai dan perwatakan yang dipamerkan oleh seseorang individu sewaktu menjalankan perkhidmatannya dan kesannya terhadap masyarakat.

Bagi membolehkan tingkah laku seorang guru yang standard dapat dibentuk, satu garis panduan mengenai etika telah dibuat. Garis paduan ini turut dikenali sebagai kod amalan etika keguruan. Kod ini digubal bagi memastikan seseorang guru itu dapat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pendidik dengan cara yang luhur dan berdedikasi. Kod etika keguruan yang terdapat di negara ini adalah berbeza dengan kod etika yang terdapat di negara-negara lain. Hal ini disebabkan terdapat perbezaan nilai-nilai budaya di antara negara kita dengan negara lain.

Kod etika di negara kita menekankan pelbagai aspek yang menyeluruh bagi melahirkan penjawat awam yang berintegriti tinggi. Di samping itu, guru dapat mengetahui dengan lebih jelas mengenai skop tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh guru serta batas-batas yang perlu dipatuhi oleh seorang guru dalam menjalankan tugas sepanjang tempoh perkhidmatan.

3.     Isu-isu Etika Guru

Dewasa kini kita sering disajikan dengan lambakkan berita mengenai salah laku yang berlaku dalam dunia pendidikan di negara kita. Terdapat pelbagai isu yang timbul mengenai isu-isu dalam etika keguruan di Malaysia. Sebagai seorang bakal pendidik, adakah anda menyedari akan kesalahan-kesalahan yang sering menjadi isu dalam etika keguruan? Antara isu yang dapat kita lihat berlaku di sekolah ialah kesantunan guru, kepedulian guru, pengurus kewangan, pengurus masa, berniaga di sekolah serta penampilan guru.

                                                    Rajah 1: Isu-isu Etika Guru

a)     Kesantunan
Kesantunan merupakan suatu aturan mengenai tingkah laku  yang telah dipersetujui bersama oleh sekelompok masyarakat lalu menjadi prasyarat kepada perilaku sosial. Kesantunan ini dilihat amat penting dalam usaha membentuk kesantunan dalam diri murid melalui contoh-contoh kesantunan yang diamal serta dipamerkan oleh guru.

Lantaran itu, kesantunan guru dapat dilihat menerusi pelbagai aspek seperti pergaulan dan interaksi yang dijalinkan di antara guru bersama murid, guru bersama rakan sejawat, pihak atasan mahupun masyarakat sekitar. Malah, guru yang menunjukkan nilai kesantunan yang tinggi dalam kehidupan seharian akan dipandang tinggi oleh masyarakat setempat.

Aspek kesantunan ini merangkumi tiga cabang yang berbeza iaitu, kesantunan berpakaian, kesantunan tingkah laku dan kesantunan berbahasa. Kesantunan berpakaian merupakan kesantunan seorang guru dalam berpakaian. Hal ini termasuklah dari aspek jenis pakaian, fesyen yang diperagakan serta solekan pada wajah. Pemakian yang sesuai bagi seorang guru haruslah bersesuaian dengan etika berpakaian yang terkandung dalam Peraturan Tatatertib dan Kelakuan bagi penjawat awam. (Syed Ismail Syed Mustapa, 2010).

Kesantunan tingkah laku pula menekankan aspek kesantunan yang perlu diamalkan oleh guru dalam apa jua situasi. Hal ini dapat dilihat menerusi tingkah laku yang perlu dipamerkan oleh guru dalam situasi yang berbeza seperti menjalankan urusan di kaunter perkhidmatan dan juga tingkah laku sewaktu berurusan dengan ibu bapa di sekolah. Tingkah laku yang dipamerkan guru amat penting dalam mencerminkan keperibadian seorang guru.

Kesantunan  berbahasa pula menunjukkan kesantunan yang perlu diamalkan dalam mengadakan interaksi dengan pihak lain. Interaksi yang dijalankan haruslah mematuhi norma-norma budaya dan tidak mudah dipengaruhi oleh emosi. Dalam kesantunan berbahasa ini, laras bahasa dilihat amat penting sewaktu interaksi dijalankan. Penegasan suara pula dapat membezakan di antara arahan, perbualan malah perbincangan yang dijalankan. Guru perlu peka mengenai isi kandungan yang hendak disampaikan agar sesuai dengan waktu dan keadaan persekitaran.


b)    Pengurus Masa
Pengurusan masa bermaksud bagaimana cara seseorang itu mengendalikan masanya secara efektif. Umum mengetahui kerjaya sebagai guru memerlukan masa yang banyak kerana perlu membuat rangka dan perancangan pengajaran serta memilih kaedah dan teknik pengajaran yang sesuai dengan murid.

Kebelakangan ini kita sering kali mendengar rungutan dan sungutan dari para guru mengenai bebanan kerja yang dialami oleh guru. Namun, sekiranya guru terbabit bijak menguruskan masa dengan efektif, masalah terbabit tidak akan timbul. Guru yang cemerlang bijak membahagikan masa dengan mengutamakan kerja yang penting dan tidak mengamalkan sikap saling bertangguh. Lazimnya mereka akan membuat senarai tugasan bagi memudahkan kerja dan merancang masa dengan baik.

c)  Pengurus Kewangan
Sebagai seorang guru, kita tidak terkecuali daripada menjadi seorang pengurus kewangan. Hal ini dapat dilihat dengan jelas apabila guru diberikan tanggungjawab untuk mengutip yuran tahunan murid. Selain itu, terdapat juga guru yang diberikan tanggungjawab tertentu dalam pengurusan kewangan seperti ketua panitia mata pelajaran, guru pusat sumber, guru kaunseling dan sebagainya yang sememangnya menerima peruntukkan khas dari pihak kementerian setiap tahun bagi tujuan pembelajaran dan program sekolah.

Guru-guru terbabit haruslah bijak mengurus kewangan tersebut agar tidak berlaku pembaziran mahupun penyelewengan terhadap dana yang diterima. Hal ini amat penting kerana melibatkan integriti bagi seseorang guru dalam mengurus peruntukkan yang diterima. Malah, guru juga adalah dilarang daripada mengambil duit daripada murid secara sewenang-wenangnya. Setiap pembayaran yang dikeluarkan oleh murid, haruslah disertakan dengan resit rasmi sebagai bukti. Di samping itu, segala kutipan haruslah mendapat persetujuan daripada guru besar dan hanya guru besar yang boleh menyimpannya.

Sekiranya guru tidak mempunyai kemahiran dalam pengurusan kewangan, maka guru terbabit tidak akan dapat mengurus bajet gajinya sendiri. Situasi ini membolehkan guru terbabit menyeleweng atau menggunakan duit pembayaran yuran murid terlebih dahulu kerana terdesak. Situasi sebegini tidak seharusnya terjadi kerana guru merupakan individu yang sering menjadi contoh dan dihormati oleh segenap lapisan masyarakat.

d)     Kepedulian Guru
Kepedulian guru merupakan sikap keprihatinan guru terhadap murid. Sebagai seorang guru yang berdedikasi, adalah amat penting bagi guru terbabit mendekati diri murid dan mengenali latar belakang diri murid. sikap saling mengambil peduli dan mengambil tahu ini amat penting dalam proses pembelaaran.

Apabila seseorang guru itu mengambil tahu akan perkembangan dan perubahan yang ditonjolkan oleh murid, maka secara tidak langsung guru dapat mengawal dan membentuk tingkah laku yang positif dalam diri murid. Sekiranya guru menggunakan pendekatan kepedulian ini dalam menangani permasalahan murid, Secara tidak langsung guru dapat menjalinkan hubungan yang mesra dengan murid. Hal ini secara gus membolehkan murid berasa yakin untuk meluahkan masalah mereka untuk mendapatkan bantuan. Guru secara tidak langsung pula dapat memberikan motivasi kepada murid dengan member sokongan dan dorongan kepada murid untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka.



e)  Penampilan Guru
Penampilan guru merupakan cerminan imej yang dipamerkan oleh guru kepada masyarakat khususnya kepada murid dari setiap aspek. Guru yang mempunyai kredibiliti yang tinggi merupakan seorang guru yang sentiasa menjaga penampilannnya di mata masyarakat. Penampilan guru bukan sahaja diukur dari segi keindahan wajah, kelunakkan suara dan kemasyhuran semata-mata, sebaliknya penampilan guru turut dinilai melalui ciri-ciri yang dipamerkan oleh guru.

Penampilan seorang guru terbahagi kepada lima aspek iaitu sifat rohaniah, akhlak, mental, kejiwaan dan fizikal. Penampilan guru yang perlu ada dalam aspek rohaniah ialah mempunyai keimanan yang tinggi kepada Tuhan, mempercayai agama, hari pembalasan dan sebagainya. Apabila seorang guru mempunyai pegangan agama yang tinggi, maka guru tersebut akan berupaya membentuk murid yang mempunyai asas kerohanian yang kukuh.

Sifat akhlak pula memperlihatkan bagaimana guru memperaktikkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Sebagai seorang guru, amalan nilai murni seperti bercakap benar, menepati janji ikhlas dan amanah membolehkan guru tersebut dihormati oleh masyarakat kerana keluhuran budi pekerti yang ditonjolkan. Secara tidak langsung menjadikan murid berasa mudah untuk berkongsi masalah dengan guru terbabit serta mendapatkan bimbingan.

Guru merupakan seorang individu yang menyampaikan ilmu kepada individu lain. Maka adalah penting bagi seorang guru mempamerkan penampilan yang baik dalam aspek mental. Melaluinya guru perlulah mempunyai minda yang cerdas serta mempunyai ilmu yang meluas dan tidak terhad dalam satu cabang ilmu sahaja. Sekiranya guru tidak menguasai ilmu lain, maka kredibiliti guru boleh terjejas pada pandangan murid kerana guru kurang berpengetahuan.

f)       Berniaga di Sekolah
Guru dan perniagaan merupakan dua bidang yang berbeza kerana kerjaya guru tidak menjaminkan keuntungan yang lumayan seperti bidang perniagaan. Namun, dewasa kini guru sering kali dilihat menjalankan perniagaan di sekolah. Antara aktiviti perniagaan yang sering menjadi pilihan guru ialah MLM, kuih raya, tudung dan sebagainya.

Situasi ini jika dilihat sekali pandang, merupakan isu yang remeh, namun kesannya sangat mendalam jika tiada kawalan dan tindakan dari pihak pentadbir dan atasan. Natijahnya, suasana bilik guru yang lazimnya formal kini bertukar menjadi pasar malam dan medan jualan, khususnya menjelang musim perayaan lantaran guru-guru saling berjual sesama mereka. Situasi ini akan menimbulkan pandangan negatif oleh murid sekaligus ibu bapa apabila anak-anak tersebut melaporkannya kepada ibu bapa mereka.

Malah, terdapat juga guru yang terlibat dengan kelas tambahan di luar sekolah. Ada di antara mereka yang kadang kala mengabaikan tanggungjawab mereka mengajar dengan baik dan berkesan di sekolah, sebaliknya mengajar dengan penuh komited di pusat-pusat tuisyen. Hal ini disebabkan mereka berasakan imbuhan yang diterima sebagai guru tuisyen lebih berbaloi daripada jumlah gaji bulanan yang diterima. Situasi ini secara tidak langsung menyebabkan masyarakat telah memandang serong kepada guru terbabit kerana dilihat kurang ikhlas dalam menyampaikan pengajaran kepada murid.





4.    Isu Etika Keguruan : Guru Meliwat Murid

Dalam menongkah arus kemodenan dan transformasi masa kini, acap kali kita dipertontonkan dengan kisah-kisah mengenai salah laku yang dilakukan oleh guru melalui arus media. Antara salah laku yang kerap dilaporkan ialah guru berniaga, guru mendenda murid, guru ponteng kerja dan sebagainya. Namun begitu, situasi-situasi tersebut dilihat sebagai satu fenomena yang dianggap biasa oleh masyarakat khususnya ibu bapa dan pihak atasan. Namun, sejak akhir-akhir ini negara kita telah dikejutkan dengan berita mengenai salah laku guru yang tidak tercapai dek akal untuk dilakukan oleh individu yang bergelar pendidik. Isu yang hangat diperkatakan kini ialah tindakan guru yang meliwat muridnya sendiri.

Situasi ini sedikit sebanyak menyebabkan kepercayaan masyarakat terhadap profession keguruan terjejas. Masyarakat kini seolah-olah tidak lagi mempercayai serta meletakkan guru sebagai insan yang perlu dianjung mulia. Hal ini telah mengakibatkan guru bertentangan dengan kod amalan etika yang telah termaktub dalam professionalisme yang perlu dipatuhi oleh seorang guru, iaitu dalam aspek kesantunan.

a)    Kes 1
Berdasarkan artikel yang telah dikeluarkan oleh laman web akhbar Utusan Malaysia, pada tarikh 12 Ogos 2012, menyatakan terdapat satu kes mengenai salah laku yang telah dilakukan oleh guru di sebuah negeri di pantai timur pada tahun 2011. Penulis tersebut menyatakan bahawa seorang guru yang bergelar ‘ustaz’ telah meliwat seorang pelajar tingkatan satu di sebuah kuartes guru di sebuah sekolah di Batu Rakit, Terengganu.


Guru yang berusia 42 tahun itu telah didakwa meliwat pelajar terbabit sebanyak tiga kali di lokasi yang sama. Penulis turut menyatakan bahawa guru tersebut telah berkahwin namun terpaksa berjauhan dengan isterinya yang juga merupakan seorang guru di Kelantan.


b)    Kes 2
Berdasarkan artikel yang telah dikeluarkan oleh akhbar Harian Metro bertarikh 1 September 2012 bertajuk ‘Hukuman terhadap guru liwat murid kekal’ menerangkan bahawa seorang guru di utara tanah air telah dijatuhkan hukuman penjara selama lapan bulan penjara adalah dikekalkan. Guru tersebut telah didapati bersalah di atas tuduhan meliwat dua orang pelajarnya pada enam tahun yang lepas.

Guru tersebut melakukan kesalahan itu di rumahnya yang terletak di sebuah taman perumahan berdekatan denga sekolah tempatnya mengajar. Pihak makamah telah memutuskan hukuman tersebut dan membenarkan guru terbabit diikat jamin sebanyak RM35 000 dengan seorang penjamin. Pihak makamah beranggapan hukuman tersebut adalah setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan oleh guru terbabit kerana telah memusnahkan masa depan murid tersebut serta meninggalkan titik hitam dalam perkembangan emosi murid terbabit.

Berdasarkan dua kes yang dinyatakan, kita dapat melihat dewasa kini, tahap kesantunan tingkah laku guru semakin hari kian terhakis dalam diri para pendidik kita. Mengapa hal-hal sedemikian berlaku?? Tidakkah mereka berasa malu dan bersalah dengan perbuatan keji yang telah mereka lakukan?? Bagaimanakah nasib mereka dalam sebagai penjawat awam?? Mari kita bersama mengkaji mengapa isu ini terjadi dan apakah impaknya terhadap guru dan mangsa kerakusan guru terbabit.


5.  Punca Isu

Melalui pemerhatian dan kajian yang dijalankan bagi membongkar punca sebenar isu ini terjadi, saya berpendapat bahawa guru terbabit tidak mempunyai penampilan sifat rohani dan akhlak yang tinggi selain itu guru terbabit juga dilihat tidak mempunyai nilai kesantunan tingkah laku dalam dirinya.

Hal ini dapat dilihat dengan jelas apabila guru dalam kes 1 yang dilihat duduk berjauhan dengan isteri lantaran tanggungjawab sebagai pendidik telah memisahkan mereka kepada dua lokasi yang bereza. Jadi dapat dilihat di situ bahawa guru terbabit tidak mendapat nafkah batin yang sewajarnya seperti mana pasangan suami isteri yang lain. Namun begitu, ini bukanlah satu alasan yang boleh diterima dek akal bagi membolehkan guru terbabit melempiaskan nafsu songsangnya kepada mana-mana individu lain, apatah lagi murid sendiri.

Sebagai seorang guru, apatah lagi mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam, guru terbabit seharusnya lebih tahu dan arif mengenai batasan agama dan kesannya terhadap tindakan yang dilakukan. Guru tersebut seharusnya mempunyai tahap keimanan yang utuh dalam dirinya, bukannya merosakkan muridnya dengan melakukan perbuatan yang keji lagi terkutuk itu walaupun dengan kerelaan murid itu sendiri. Jelaslah tindakan ini telah bertentangan dengan prinsip penampilan guru dalam sifat kerohanian amat rendah kerana guru terbabit tidak dapat mengawal nafsu sendiri di samping tidak menggunakan akal yang waras sewaktu melakukan sebarang tindakan yang hendak dilakukan.

Selain itu, guru tersebut juga dilihat tidak mempunyai penampilan akhlak yang tinggi sebagai penjawat awam mahupun ahli masyarakat. Hal ini dapat dilihat dengan jelas apabila guru terbabit memaksa muridnya untuk melakukan perbuatan yang terkutuk itu. Sekiranya guru terbabit mengamalkan penampilan sifat akhlak dalam dirinya, maka guru terbabit tidak akan tergamak merosakkan muridnya sendiri. Guru tersebut seharusnya menunjukkan keperibadian diri yang mulia kepada murid, bukannya menunjukkan nilai akhlak yang menjijikkan itu. Natijahnya, guru terbabit telah pun dipandang serong dan dikeji oleh ahli masyarakat lantaran perbuatannya yang tidak boleh diterima dek akal itu.

Punca lain yang dapat diperoleh melalui kedua-dua kes ini ialah guru tersebut tidak mempunyai nilai kesantunan yang tinggi. Nilai kesantunan, khususnya nilai kesantunan tingkah laku yang terdapat dalam diri guru tersebut dilihat amat rendah kerana guru terbabit tidak menunjukkan tingkah laku yang baik.

Walaupun pada dasarnya guru terbabit dilihat sebagai individu yang mempunyai tingkah laku yang mulia sewaktu berinteraksi dengan masyarakat, namun guru terbabit dilihat tidak menunjukkan tingkah laku tersebut dengan ikhlas. Sebaliknya, guru terbabit dilihat seolah-olah berlakon untuk memberntuk satu perspektif yang baik dalam pandangan masyarakat terhadap dirinya. Hal ini membolehkan guru terbabit diterima dengan baik oleh masyarakat sewaktu baru bertugas di situ dan membolehkannya mendekatkan diri dengan murid.

Melalui kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat, khususnya ibu bapa terhadap guru terbabit dalam mendidik anak-anak mereka, ada di antara ibu bapa yang member keizinan kepada anak-anak mereka untuk bermalam di rumah guru terbabit atas alasan tuisyen, motivasi dan sebagainya. Namun di sebalik kebaikan yang dihulur, akhirnya guru terbabit telah menanggalkan topeng dengan menunjukkan diri sebenar mereka yang sememangnya tidak mempunyai kesantunan dalam tingkah laku demi mengejar bisikan syaitan dan nafsu songsang mereka sendiri.


6.     Kesan Isu

Melalui kes yang dikaji, dapat saya menjangkakan implikasi-implikasi yang bakal ditempoh oleh guru dan juga mangsa serta profession keguruan ini sendiri.

a)    Guru
Guru yang didapati bersalah oleh makamah dalam melakukan kesalahan ini akan boleh dijatuhkan hukuman di bawah Akta Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 iaitu mengikut Akta 559 yang dikuatkuasakan ke atas semua orang Islam. Individu yang disabitkan bersalah akan dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM 5000, atau hukuman penjara tidak lebih tiga tahun, atau sebatan tidak melebihi enam kali sebatan atau kesemuanya sekali. (Anita Abdul Rahim, 2010).

Selain dikenakan hukuman dari pihak makahamh, guru terbabit akan dikenakan tindakan tatatertib daripada pihak kementerian, sama ada digantung kerja atau pun diberhentikan perkhidmatannya sebagai penjawat awam. Tindakan ini akan meninggalkan kesan ke atas guru terbabit kerana tiada punca pendapatan selain menanggung malu di atas kesalahan yang telah dilakukan.

b)    Murid
Kesan yang bakal ditempuh oleh murid iaitu mangsa ialah murid akan mengalami gangguan emosi seperti marah, malu, sedih dan sebaginya yang bercampur baur kerana kehilangan maruah dan harga diri. Selain itu, murid juga boleh menjadi trauma dan fobia dengan guru lelaki dan juga mana-mana lelaki lain berikutan titik hitam yang telah dilaluinya sebelum ini.

Sekiranya masalah tersebut tidak dibendung, murid berkenaan berkemungkinan tidak akan bergaul dengan lelaki dan lebih cenderung kepada perempuan. Malah jika mangsa tidak mendapat bantuan dari pakar untuk melupakan titik hitam tersebut, mangsa berkemungkinan akan menjadi seorang pendendam dan akan membalasnya dengan mencari mangsa yang lain kerana ingin orang lain merasai kesakitan dan keperitan yang dilaluinya di masa lalu.

c)    Profession Keguruan
Profession keguruan juga turut menerima pelbagai impak apabila timbulnya isu-isu songsang seperti ini. Masyarakat secara tidak langsung akan memandang serong kepada guru lain, khususnya guru yang berperwatakkan lembut. Selain itu, imej guru sedikit sebanyak akan tercalar apabila masyarakat terus memperkatakan isu ini melalui media-media massa dengan pelbagai unsur yang digembar-gemburkan.
  

7.    Kesimpulan

Melalui pemerhatian yang dilakukan, saya melihat pelbagai isu yang timbul dalam etika keguruan di negara kita. Sebagai seorang penjawat awam, guru haruslah mengamalkan sifat-sifat murni yang sejajar dengan garis panduan etika amalan penjawat awam yang telah dibuat oleh pihak kementerian. Guru merupakan seorang pendidik dan menjadi ikutan serta role model kepada murid di sekolah dan juga masyarakat.

Lantaran itu, adalah penting bagi guru menunjukkan sikap dan keperibadian yang murni dalam kehidupan seharian. Guru yang baik adalah guru yang komited terhadap kerjanya serta sentiasa mengikut etika-etika kerja yang telah disediakan. Guru yang gagal berbuat demikian akan dianggap sebagai guru yang tidak berkualiti serta tidak amanah dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pendidik sekaligus penjawat awam yang dilantik.

Guru terbabit haruslah terbuka dalam menerima teguran serta sentiasa bersedia untuik memperbaiki kekurangan diri. Jika guru terbabit gagal mengubah kelazimannya, maka guru tersebut haruslah keluar daripada kepompong sebagai seorang pendidik kerana jika dibiarkan, ia akan menjadi barah dalam pembangunan modal insan anak-anak generasi bangsa kita.




 Bibliografi


Buku

Amin Senin, (2008), Pembangunan Profesional Guru, Utusan Publication Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.
 Syed Ismail bin Syed Mustapa, Ahmad Subki bin Miskon, (2010), Siri Pengajian Profesional:Asas Kepimpinan & Perkembangan Professional, Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd, Puchong.
Jurnal
Ahmad Azam Mohammad Shariff, Anita Abdul Rahim, Ruzian Markom, (2010), Hukuman Sebat Menurut Akta 355:Sejauh Manakah Implikasinya Dalam Kes-Kes Jenayah Syariah Di Malaysia?, Falkulti Undang-Undang UKM.


Internet

Guru Agama Ditahan Liwat Pelajar, 12.8.2011 http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0812&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_01.htm diakses pada 20.8.2012
Hukuman Terhadap Guru Liwat Murid Kekal, 1.9.2012, http://www.hmetro.com.my/articles/Hukumanterhadapguruliwatmuridkekal/Article/ , diakses pada 1.9.2012

No comments:

Post a Comment