Sunday, September 2, 2012

ISU KEGURUAN - ISU BEBAN TUGAS GURU


Oleh : Nur Yusrina Bt Mohd Roodzi

1.0 PENGENALAN ISU
Perkembangan sistem pendidikan di Malaysia adalah selaras dan selari dengan perkembangan dasar negara. Setiap dasar yang dilaksanakan oleh negara akan diikuti oleh perubahan sistem pendidikan bagi memenuhi dasar negara tersebut. Falsafah Pendidikan Kebangsaan Kebangsaan (FPK) menekankan “Pendidikan sebagai usaha berterusan untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu bagi mewujudkan insane seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan. Usaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berkeupayaan untuk mencapai kesejahteraan diri serta negara.”

. Dalam usaha untuk merealisasikan falsafah pendidikan itu, Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) mula dilaksanakan pada tahun 1982 manakala Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) mula dilaksanakan pada tahun 1988. Kini, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan bagi menggantikan KBSR. Pelaksanaan KBSR, KBSM dan kini, KSSR menuntut para guru untuk bekerja keras bagi merealisasikannya.

Tanggungjawab dan beban kerja guru yang semakin bertambah menyebabkan guru memainkan bermacam jenis peranan. Dalam menjalankan tugas sebagai pendidik, guru perlu membuat perancangan pengajaran, persediaan alat-alat mengajar, meneyemak buku murid, menanda kertas peperiksaan, menghadiri mesyuarat serta kursus. Selain itu, guru menjalankan tugas-tugas perkeranian seperti urusan buku teks, hal ehwal kebajikan murid, disiplin murid, akaun persatuan dan kelas, kegiatan sukan dan kokurikulum. Beban tugas yang banyak ini menyebabkan guru semakin tertekan dan mengalami tekanan emosi. Penambahan beban tugas ini sudah tentu akan membawa kesan kepada mutu dan kualiti pengajaran guru.

Merujuk kepada keratan akhbar, Utusan Malaysia 23 Januari 2008, mantan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendedahkan bahawa beban kerja guru pada masa kini adalah terlalu berat. Artikel ini menjelaskan bahawa guru terpaksa menanggung bebanan yang berada di luar bidang tugas. Tugas guru bukan sekadar mengajar malahan turut memainkan peranan dalam pembangunan sekolah, menjaga disiplin dan mengurus pentadbiran. Menurut beliau, pengharapan untuk menaikkan tahap akademik pelajar dan sekolah telah meningkatkan beban kerja guru selain tanggungjawab remeh temeh yang terpaksa digalas mereka.

Beban tugas didefinisikan sebagai tanggungjawab yang mesti dipikul dan dilakukan oleh para guru sama ada tanggungjawab di dalam bilik darjah ataupun diluar bilik darjah untuk menyelesaikan kerja-kerja sekolah. beban tugas ini boleh diukur dengan melihat jumlah masa yang diperuntukkan untuk menyelesaikannya.

Pada pandangan saya, isu ini tidak akan pernah selesai kerana walaupun isu ini telah lama dibangkitkan, namun sehingga kini isu ini masih diperkatakan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa usaha-usaha yang telah dilakukan masih tidak mampu untuk menyelasaikan masalah ini. Isu ini juga tidak akan selesai kerana sistem pendidikan yang sentiasa berubah serta keperluan pendidikan yang semakin meningkat dan harus dipenuhi.










2.0 BEBAN TUGAS GURU
Selain tugas guru untuk mendidik, guru juga perlu mengurus kebajikan serta kesihatan pelajar seperti pengurusan Skim Bantuan Tuisyen, Kumpulan Wang Amanah Plejar Miskin (KWAPM), Skim Pinjaman Buku Teks dan biasiswa. Guru juga menguruskan penyelengaraan bangunan, perabot, sistem siaraya, keceriaan sekolah, kawalan penggunaan kemudahan sekolah, pengurusan stor dan perolehan.

Di samping itu, guru juga perlu menjalankan dan menjayakan pelbagai program yang dianjurkan oleh pihak sekolah seperti Program Hari Anugerah Kecemerlangan, Program 3K, Program Sekolah Penyayang dan Program Kecemerlangan Sukan. Selain program-program sekolah, guru turut terlibat dengan program yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), kementerian lain, agensi bukan kerajaan dan pihak swasta. Antara program itu ialah Sambutan Hari Kebangsaan, Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia, Sambutan Hari Keputeraan Sultan serta majlis-majlsi rasmi kerajaan negeri.

Menurut Roslan Madon (2010), Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), walaupun sudah ada garis panduan menegnai tugas yang perlu dilaksanakan, kadangkala guru perlu juga melaksanakan kerja lain yang diluar bidang mereka seperti membuat pemeriksaan kesihatan dan mata murid. Katanya, tugas ini sepatutnya dilakukan oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Malaysia dan bukannya guru. beliau menegaskan lagi bahawa sekolah tidak sepatutnya dibebankan dengan aktiviti anjuran agensi lain dan boleh menolak kerjasama dengan agensi luar melainkan kerjasama tersebut member keutamaan kepada keperluan murid dan tidak membebankan guru.

Guru juga terbabit dalam pengurusan asset sekolah dan inventori sedangkan ini bukanlah tugas utama guru, sebaliknya ini adalah bidang tugas pejabat. Walaubagaimanapun, guru perlu memikul tanggungjawab berkenaan kerana pembantu stor yang pernah diwujudkan pada suatu ketika dahulu telah dimansuhkan.

Tambahan lagi, guru turut melakukan tugas memasukkan data berkaitan maklumat guru dan murid ke dalam Sistem Maklumat Murid (SMM) dan Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) yang memerlukan guru mengisi maklumat profil pelajar serta maklumat keputusan peperiksaan pelajar bagi membolehkan ibu bapa melihat prestasi anak-anak mereka.

Antara beban tugas guru yang lain ialah, mengutip yuran tambahan, menyediakan laporan kantin, laporan aktiviti surau, mengurus Rancangan Makanan Tambahan serta mengurus Rancangan Susu Tambahan. Kesemua senarai tugas yang diluar daripada bidang pengajaran jelas menunjukkan guru-guru pada masa kini terbeban dengan tugas-tugas lain yang melabihi tugas utama iaitu mendidik pelajar.















3.0 PUNCA BEBAN TUGAS GURU
Menurut Datuk Azam Mohd Atan (2010), Yang Dipertua Persidangan Kebangsaan Pengetua Sekolah Malaysia (PKPSM), berikutan jumlah kerani yang tidak mencukupi di sekolah, guru terpaksa mengurus dan memasukkan data pelbagai jenis borang seperti Borang Pnjaman Buku Teks, Borang Biasiswa serta profil murid. Sebagai contoh,Sekolah Menengah Sains Rembau mempunyai empat kerani berbanding 480 orang pelajar. Bilangan ini tidak mencukupi dan perlu ditambah sekurang-kurangnya dua orang lagi bagi membolehkan semua kerja perkeranian dapat dilakukan oleh kakitangan pejabat sekolah.

Masalah beban guru juga berpunca daripada kecelaruan dan kelemahan di dalam pentadbiran dan penyelarasan pada semua peringkat pentadbiran sekolah akibat ledakan maklumat. Ramai guru di sekolah yang sama menghadiri kursus secara serentak di luar kawasan akibat pengurusan masa kursus yang tidak dijalankan dengan tersusun. Keadaan ini menyebabkan tugas yang ditinggalkan terpaksa dipikul oleh guru lain yang masih berada di sekolah sedangkan mereka sudah mempunyai kerja yang perlu disiapkan.

Masalah ini juga berpunca apabila ramai guru yang bercuti atas sebab-sebab tertentu seperti, bersalin, menunaikan umrah, menjalani pembedahan serta cuti sakit. Tugas-tugas guru-guru yang bercuti akan diberikan kepada guru-guru yang masih ada di sekolah. Maka, guru-guru ini perlu melaksanakan tugas berganda walaupun mereka sendiri telah mempunyai pelbagai tugas yang perlu dilaksanakan.

Perubahan dasar kerajaan juga turut meningkatkan tugas guru. Hal ini kerana guru merupakan badan pelaksana dasar kerajaan. Perubahan kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah menyebabkan guru-guru perlu menghadiri kursus-kursus yang dianjurkan oleh pihak kementerian Pelajaran bagi merealisasikan hasrat kerajaan. Setiap kali kurikulum dan sistem berubah, guru-guru perlu mengikut dan memastikannya berjaya.

Guru juga terpaksa berhadapan dengan perubahan demi perubahan dalam bidang pendidikan sehingga wujudnya beban yang keterlaluan. Contohnya apabila ada pegawai baru di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri atau di peringkatkementerian, banyaklah idea dan tugasan baru yang harus dipikul oleh guru.
Perubahan kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah menyebabkan guru-guru perlu menghadiri kursus-kursus yang dianjurkan oleh pihak kementerian Pelajaran bagi merealisasikan hasrat kerajaan. Setiap kali kurikulum dan sistem berubah, guru-guru perlu mengikut dan memastikannya berjaya.Bebanan ini bertambah dalam keadaan jumlah guru yang tidak seimbang dengan peningkatan jumlah murid´ (Harian Metro, 2005).

Para guru masa kini terpaksa menghadapi masalah dalam menguruskan aktiviti-aktiviti kokurikulum di sekolah yang semakin hari semakin bertambah. Guru-guru dikehendaki menjalankan kegiatan kokurikulum di sekolah tanpa mengikut ketetapan masa tidak kira pada waktu persekolahan mahupun di luar waktu persekolahan. Akibatnya, guru-guru terpaksa meninggalkan tugas utama mereka iaitu mengajar di bilik darjah. Mengikut kajian yang dilakukan pleh Shahbudin (1986), didapati masa sebenar guru bekerja adalah44.28 jam seminggu manakala masa rasmi di sekolah ialah 28.35 jam sahaja seminggu(jumlah masa kerja rasmi bagi 1 hari adalah 5.67 jam.) Justeru itu, guru-guru masihmemerlukan sebanyak 15.93 jam lagi bagi menyempurnakan kerja-kerja mereka seperti mengajar dan menyemak latihan buku pelajar

Selain itu, tidak menguasai kemahiran di dalam tugas yang diberikan. Secara purata, guru-guru mengambil masa 38 hari setahun untuk menghadiri kursus dan latihan. Ia adalah keperluan dan peluang memperbaiki kemahiran di dalam tugas yang diberikan. Namun, ada sesetengah guru tidak mengambil inisiatif untukmemperkembangkan kemahiran. Apabila cabaran baru datang, guru ini tidak mengikuti perkembangan semasa dan terpaksa mengambil masa yang lebih lama untuk memperbaiki diri. Sebagai contoh, kini semua maklumat murid perlu diisi secara aplikasi dalam talian, maka guru-guru perlu mempunyai kemahiran untuk menggunakan komputer dan internet bagi menyempurnakan tugas ini.
4.0 CADANGAN MENGATASI
Masalah beban tugas guru ini sukar untuk diselesaikan secara sepenuhnya tetapi beberapa tindakan boleh diambil bagi mengurangkan beban tugas guru antaranya ialah penglibatan ibu bapa dalam aspek pendidikan. Ibu bapa perlu terlibat sama dalam program-program sekolah bukan sebagai peserta sahaja malahan turut menjadi pengelola program. Sebagai contoh, semasa hari sukan tahunan, ibu bapa juga perlu melibatkan diri sebagai ahli jawatankuasa yang menguruskan sukan tahunan sekolah. ibu bapa boleh membantu dalam bahagian pengurusan peserta, pelepasan peserta serta ahli jawatankuasa keselamatan. Hubungan yang erat antara pihak sekolah dan ibu bapa memudahkan pengurusan dan pentadbiran sekolah.

Pembahagian kerja merupakan perkara yang penting dalam aspek kawalan dan pengurusan bagi menganalisis tugas dan pembahagian kerja secara terperinci, kemudian membandingkan dengan kemampuan seorang pekerja untuk melaksanakan tugas itu dengan terperinci. Gabungan antara tugas dan kemampuan bertujuan mewujudkan kecekapan (Abdul Shukur Abdullah, 1991). Guru Besar dan pentadbir perlu berbincang dalam pembahagian tugas kepada guru-guru agar pembahagian kerja tersebut adil dan mengikut kemampuan guru tersebut.

Semua program yang dianjurkan oleh organisasi luar perlu diuruskan sendiri oleh mereka serta aktiviti tersebut dijalankan di luar kawasan sekolah. Guru-guru dan pelajar pula hanya perlu menghadiri program tersebut sebagai peserta atau jemputan sahaja. Menurut Datuk Azam Mohd Atan (2010), Yang Dipertua Persidangan Kebangsaan Pengetua Sekolah Malaysia (PKPSM), apabila sekolah menjadi tuan rumah dan pengurus acara, sekolah ingin buat yang terbaik sedangkan persiapannya mengambl masa yang lama. Maka, lebih baik program yang dianjurkan oleh pihak luar diadakan diluar kawasan sekolah dan diuruskan oleh mereka sendiri. Hal ini akan meringankan beban guru kerana guru tidak perlu bersusah payah membuat persiapan untuk sesuatu program luar.

Yang Dipertua Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Ahmad Malie (2010) mencadangkan format untuk sistem data murid diselaraskan. Dengan itu, semua jabatan dan bahagian sama ada kementerian, jabatan pelajaran negeri, pejabat pelajaran daerah boleh mengakses kepada maklumat berkenaan dan mengambil maklumat yang sesuai dengan keperluan masing-masing. Sistem teknologi perlu berubah agar mampu memenuhi keperluan semasa.

Penggunaan ICT dapat meringankan beban guru di sekolah. ICT digunakan bagi memudahkan urusan pentadbiran, memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran serta menyelaras aktiviti dan program. Semua maklumat lengkap berkaitan pelajar boleh disimpan menggunakan perisian Microsoft Access dan Microsoft Excel. Selain itu, ICT juga digunakan untuk mewujudkan pengkalan data soalan, kandungan pengajaran dan pembelajaran, persediaan pengajaran dan kandungan pengajaran. Hal ini dapat mempercepatkan masa dan meringankan beban guru.
Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia mencadangkan agar pihak pentadbir sekolah mengurangkan bilangan jawatankuasa pada peringkat sekolah kepada jumlah yang lebih wajar. Pada masa ini terdapat sekolah yang mempunyai hamper 40 jawatankuasa dalam bidang pengurusan dan pentadbiran, kurikulum, hal ehwal murid serta kebersihan, kecriaan dan keselamatan murid yang memerlukan curahan masa dan tenaga guru yang bukan sedikit. Pengurangan jawatankuasa boleh dilakukan dengan penggabungan dan pemansuhan jawatankuasa. Walaupun begitu, pembahagian tugas di sekolah perlu dilakukan secara adil untuk mengelakkan bebanantugas tertumpu kepada guru tertentu sahaja.

Selain itu, pihak kementerian perlu mengkaji semula bilangan peperiksaan dan ujian pada peringkat sekolah kerana terdapat sekolah yang mempunyai hampir 20 peperiksaan dalaman tidak termasuk peperiksaan awam. Pengurangan peperiksaan dalaman dapat mengurangkan beban guru untuk membina soalan dan menyemak skrip jawapan murid. Secara tidak langsung, pengurangan bilangan peperiksaan dapat mengelakkan negara daripada menjadi terlalu berorientasikan peperiksaan. Murid perlu belajar untuk mendapatkan ilmu dan bukannya belajar untuk menjawab peperiksaan sahaja.

Menyusun semula tugas-tugas perkeranian di sekolah dapat meringankan beban guru di sekolah. Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju gutu tidak perlu dibebankan dengan tugas perkeranian yang terlalu banyak sehingga mengganggu tugas utama guru sebagai pendidik anak bangsa. Dalam usaha untuk melonjakkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, guru perlu diberikan banyak masa untuk merancang pengajaran yang lebih berkesan serta membuat persiapan mengajar. Maka, Jawatankuasa Bebanan Tugas Guru akan menyediakan garis panduan tugas utama guru dan tugas yang tidak boleh dilakukan oleh guru.

Kementerian Pelajaran disaran supaya mengambil kira faktor nisbah purata antara guru dan pelajar dalam kelas sebagai satu langkah mengenal pasti formula terbaik bagi mengurangkan beban kerja guru. Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia(GMGBM) Awang Mohamad berkata cadangan itu dilihat boleh membantu kementerian dalam mencari formula untuk mengatasi masalah bebanan tugas guru yang telah dibangkitkan selama ini. Satu daripada cara untuk meringankan beban kerja ini ialah dengan menambah bilangan guru, ertinya kalau sekarang satu bilik darjah 1.5 guru, sekarang satu bilik darjah 2.0 (ertinya satu bilik darjah ada dua orang guru). Langkah tersebut bertujuan membolehkan guru mempunyai masa yang cukup bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas teras, iaitu mengajar. Cadangan mengkaji purata guru dengan pelajar itu juga relevan dengan saranan beberapa pihak lain yang mahukan jawatan guru pembantu bagi mengatasi masalah yang sama. Selain dapat membantu meringankan beban tugas yang ditanggung guru, jawatan berkenaan boleh menyelesaikan masalah ketiadaan guru yang bergantung kepada guru sandaran tidak terlatih.

Guru perlu menguruskan masa dengan baik. Setiap orang akan menerima masa yang sama dalam sehari iaitu 24 jam sehari. Oleh yang demikian sepatutnya tidak ada diantar guru yang mengeluh tidak dapat menyiapkan tugasan dengan alasan tiada masa. Penggunaan masa dalam sehari, seminggu, sebulan dan seterusnya akan memberi faedah hanya kepada mereka yang pandai menguruskan masa. Pengurusan masa yang baik dapat meringankan tugas yang ada.





5.0       PENUTUP
Menjadi guru berkesan, melahirkan sekolah yang berkesan dan mencapai pendidikan yang cemerlag bukan sesuatu yang mustahil. Apa yang penting ialah kesediaan dan kesanggupan guru sendiri mengubah paradigm, stail pemikiran dan bertindak secara professional serta yang paling penting menjadi guru yang tidak mudah patah semangat. Walaupun dibebani dengna tugas yang banyak, guru tetap tidak boleh patah semangat dan berputus asa. Guru perlu sentiasa bersemangat untuk memajukan diri dengan meningkatkan kemahiran diri agar dapat menyempurnakan tugas-tugas yang diberi.

Seseorang guru yang profesional sentiasa mempamerkan ciri-ciri kekutan ilmu dan mengamalkan tingkah laku yang penuh dengan keluhuran etika kerja serta mempunyai kefahaman yang jelas dan mendalam, kesungguhan dan komitmen yang tinggi untuk menyempurnakan tugasnya pada setiap waktu. Guru yang berjiwa waja tidak mudah patah semangat dengan cabaran kerjanya. Guru hendaklah bersikap optimistik, tidak mudah merungut dengan beban tugas yang dipikul.

BIBLIOGRAFI

Kamus Dewan Edisi Baharu (1989), Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.


Muhammad Fuad Razali (2010), Beban Tugas Guru Cahaya Menanti di Hujung
Terowong, Pendidik Jun 2010.

Muhammad Fuad Razali (2010), Tugas Rencam Bebankan Guru, Pendidik Jun
2010.

Muhammad Fuad Razali (2010), Kemahiran Pengurusan Maklmat Bantu Kurang
Beban Guru, Pendidik Jun 2010.

Muhammad Fuad Razali (2010), Susun Semula Tugas Perkeranian, Pendidik
Jun 2010.

Mok Soon Sang (1996), Pendidikan di Malaysia, Kuala Lumpur: Kumpulan

Budiman.


Syed Ismail syed Mustapa, Ahmad Subki Bin Miskon (2012), Asas Kepimpinan

dan Perkembangan Profesionalisme, Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

 

Utusan Malaysia (2008), Beban Kerja Guru Kini Semakin Berat,

Utusan Malaysia (2012), 14 Isu Beban Guru Ditangani,



No comments:

Post a Comment