Sunday, September 2, 2012

Isu Etika Guru – Kepedulian Guru

 Isu Etika Guru – Kepedulian Guru

‘Tingkah Laku Guru Pengaruhi Sikap Pelajar – Pendidik (2008)’
 Oleh : Anis Binti Abd Rahim

1.0  Pengenalan

Pendidikan mementingkan aspek kualiti dan kecemerlangan seseorang individu. Kewujudan pendidikan yang berkualiti akan mengangkat martabat individu seseorang. Dalam mencapai usaha untuk memnuhi pendidikan berkualiti, kualiti seorang guru itu harus dititikberatkan. Perkembangan dalam dunia memberi cabaran yang hebat kepada guru dalam membentuk peribadi diri dan murid agar menjadi seorang insan yang berguna. Sama ada sedar atau tidak sedar, seorang guru itu memikul satu tanggungjawab yang besar dalam melahirkan seorang insan yang dapat membantu negara menjadi lebih baik.

 ‘Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik bersedia
menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara,
menjamin perkembangan individu dan memelihara suatu masyarakat yang
bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin’.
(Falsafah Pendidikan Guru)

Jadi matlamat pendidikan guru adalah menghasilkan guru berkualiti dari segi peribadi, professional sosial dan amalan tingkah laku yang baik. Guru juga diharapkan boleh menguasai ilmu, kemahiran dan amalan nilai-nilai keguruan. Malah harapan yang tinggi berupaya mencapai kecemerlangan pendidikan untuk pengisian tuntutan wawasan pendidikan dalam abad ke 21. Oleh itu guru seharusnya memiliki sahsiah yang sewajarnya.

Guru adalah seorang yang profesional. Ini bermakna guru adalah seorang yang mendapat latihan yang khusus, berpengetahuan luas dan pakar dalam bidang yang diceburi serta ada kod etika yang tersendiri. Menurut Ornstein dan Levine (1993), konsep profesional merujuk kepada ciri – ciri yang terdapat dalam kalangan ahli suatu profesion. Antara ciri – ciri yang telah dinyatakan adalah cekap dan mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang yang diceburi dan adanya kod etika yang mengawal tingkah laku ahli.

Berdasarkan ciri-ciri profesion, Mok Soon Sang (1996) merumuskan secara ringkas konsep profesionalisme sebagai suatu pekerjaan yang khusus dan dijalankan oleh orang yang mempunyai kelulusan dan latihan iktisas yang cukup bermutu, bersikap jujur, dedikasi, bertanggungjawab dan bermoral tinggi, mempunyai outonomi bertugas serta mematuhi kod etika yang ditentukan oleh organisasinya. Keprofesionalisme guru amat penting dalam bidang pendidikan. Pendidikan merupakan institusi yang dipertanggungjawabkan untuk menyediakan masa hadapan. Sistem pendidikan harus dirancang dengan teliti supaya sesuai dengan kemungkinan cabaran yang bakal timbul kelak.

Sebagai seorang pendidik yang bertanggungjawab, guru hari ini perlu menyedari bahawa tugas dan amanah yang diberikan itu adalah untuk mendidik generasi yang akan menerajuai negara ini. Oleh itu kemahiran dan pengetahuan mengenai method-method pendidikan harus diperkemaskan dari semasa ke semasa . Untuk mendepani cabaran dan tuntutan daripada perubahan-perubahan kurikulum berkenaan, guru hendaklah berusaha melengkapkan diri dengan strategi-strategi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik.

Sehubungan dengan kehendak tersebut guru harus mengikuti kursus-kursus pendidikan yang dianjurkan oleh pihak Kementerian Pendidikan , Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah. Contohnya para guru boleh mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan ataupun Kursus Peningkatan Profesionalisme Keguruan. Kursus-kursus pendidikan yang dihadiri penting bagi seseorang guru untuk mempertingkatkan keupayaan dan prestasi dalam profesion pendidikan yang kian mencabar dan kompleks ini. Memandangkan keperluan pendidikan untuk menyokong usaha-usaha kerajaan, maka profesion keguruan diharapakan dapat membuat anjakan paradigma kepada budaya yang berasaskan ilmu dan pemikiran (Rohani Abdul Hamid,1998).

 
2.0  Isu Etika Guru – Kepedulian Guru

‘Tingkah Laku Guru Pengaruhi Sikap Pelajar – Pendidik (2008)’

Isu yang cuba saya ketengahkan ialah isu kepedulian guru yang saya baca dalam sebuah majalah PENDIDIK keluaran Mac 2008.  Menurut artikel tersebut, kajian yang pernah dijalankan mengenai hubungan guru dan pelajar mendapati tingkah laku guru memberi kesan terhadap pencapaian akademik serta sikap mereka terhadap persekitaran pembelajaran.  Artikel ini juga menjelaskan tentang lapan tingkah laku negatif guru yang boleh menjejaskan pencapaian akademik pelajar. Lapan tingkah laku tersebut ialah:

2.1.  Tidak menyukai pelajar

Menyukai pelajar sudah tentu tidak boleh dilakonkan kerana perkara tersebut berlaku secara spontan dan semulajadi dalam diri guru. Sekiranya guru menyukai pelajar dan dapat mewujudkan satu perhubungan yang mesra, guru tersebut dapat mengendalikan tingkah laku pelajar mereka. Guru perlulah menyediakan waktu untuk berbual-bual dengan pelajar sekiranya mempunyai kesempatan. Hal ini dilakukan bagi mengetahui permasalahan pelajar dan mendapatkan maklumat mengenai kebolehan serta minat pelajar tersebut.

2.2.  Tidak mengetahui atau mengenali pelajar

Segelintir guru mendapati terlalu sukar untuk mereka mengingati nama dan mengenali tingkah laku pelajar mereka. apatah lagi, bilangan pelajar yang ramai serta kelas yang berlainan menyebabkan guru kadang-kadang keliru memanggil nama murid yang salah. Oleh itu, seorang guru haruslah lebih berinovasi dalam mencari penyelesaian untuk masalah tersebut.

2.3.  Melabel pelajar

Setiap pelajar adalah berbeza antara satu sama lain bukan sahaja dari segi jantina dan fizikal malah dari segi latar belakang serta emosi mereka. Perbezaan ini tidak harus menjadi modal kepada guru untuk melabel atau memberi gelaran kepada pelajar mereka. Sekiranya guru melabel seorang pelajar, ia haruslah mempunyai makna yang baik dan sedap didengar. Gelaran untuk menyindir atau mempermainkan pelajar sewajarnya dielakkan kerana ia boleh menjatuhkan semangat pelajar tersebut.

2.4.  Menyindir dan memperkecilkan pelajar

Sebagai seorang guru, kita haruslah bertindak sebagai pemangkin semangat kepada murid. Guru yang selalu menyindir dan memalukan pelajar akan dibenci oleh pelajar terbabit. Tindakan guru tersebut telah menjatuhkan maruah pelajar dan tidak seharusnya dilakukan oleh insan yang digelar guru.

2.5.  Mendera pelajar secara keterlaluan

Peraturan disiplin di sekolah telah dilaksanakan dengan sewajarnya. Oleh itu, guru haruslah membuat pertimbangan sebelum mendenda seseorang pelajarnya. Hukuman dan denda atas kesalahan disiplin pelajar telah ditetapkan dan guru haruslah mematuhi setiap perkara yang telah digariskan dalam peraturan disiplin. Sekiranya guru bertindak secara keterlaluan, pelajar mungkin mengalami trauma dan takut untuk ke sekolah.

2.6.  Pagar makan padi

Amanah seorang guru adalah untuk mendidik pelajar menjadi insan yang berguna pada masa hadapan. Guru juga bertindak sebagai pelindung dalam menjaga maruah serta keselamatan pelajar mereka. Perbuatan guru yang menyalahi etika seperti mencabul kehormatan pelajar, berkhalwat serta berperangai sumbang seharusnya dijauhi.

2.7.  Terlalu garang

Guru perlu ada sikap penyayang supaya disenangi oleh pelajar. Guru yang terlalu garang akan menakutkan pelajarnya. Mereka berasa gementar untuk bertanyakan soalan kerana bimbang dimarahi. Pelajar juga akan berasa takut untuk ke kelas dan menjejaskan tumpuan mereka di dalam kelas.

2.8.  Pilih kasih

Sikap guru yang mengamalkan pilih kasih adalah tidak waar. Seseorang pelajar dapat merasakan perbezaan kasih sayang dan perhatian yang diberikan oleh guru kepada mereka. Perhatian dan layanan yang sama rata dapat memberi rasa senang kepada diri pelajar. Pilih kasih ini berlaku disebabkan rupa paras pelajar tersebut, kekerapan berjumpa dengan guru tersebut ataupun pelajar yang menonjol di dalam kelas. Pelajar tidak akan menghormati guru yang mengamalkan sikap pilih kasih.



3.0  Punca Berlakunya Tingkah Laku Guru Yang Negatif.
Pada pandangan saya, terdapat beberapa faktor mengapa berlakunya isu guru tingkah laku guru yang negatif yang mempengaruhi sikap pelajar. Antaranya ialah:

3.1.  Profesion Guru Bukan Profesion Pilihan

Bidang keguruan sering dianggap sebagai satu kerjaya pilihan terakhir bagi sesetengah orang. Ada di antara graduan yang ditanya mengenai pemilihan kerjaya mereka, ramai yang memberikan jawapan yang hampir senada iaitu bidang keguruan adalah pilihan terakhir mereka. Ramai yang menganggap tanpa latihan asas pun mereka masih boleh menjadi guru sandaran atau sementara dan ada kalanya lebih baik dari guru yang sedia ada.

Pada asasnya profesion keguruan sejak dulu, kini dan selamanya adalah sama, iaitu untuk mengajar, mendidik dan merubah manusia yang bernama pelajar dari keadaan yang tidak mengenal huruf, tidak tahu memngira dan tidak boleh membaca kepada celif huruf, bijak mengira dan menjadi manusia yang berjaya (Shuib & Johari, 2001). Namun begitu, kerana tiada minat terhadap profesion keguruan serta sikap malas dan tidak ambil peduli menyebabkan seseorang guru  itu kurang memberikan komitmen dalam kerja, kurang nilai dalam kehidupan dan etika kerja yang lemah. Apabila sikap ini wujud, maka individu tersebut mengambil ringan tugas yang telah diamanahkan sehinggakan tiada lagi rasa tanggungjawab untuk bersungguh – sungguh dalam mendidik anak bangsa dan apa yang penting bagi mereka hanyalah gaji yang bakal diterima pada setiap bulan.

3.2. Kurang Pemantauan Daripada Pihak Pentadbir

Punca seterusnya adalah daripada pihak pentadbir. Penguatkuasaan yang lemah dan kurangnya pemantauan yang dilakukan telah mendorong kepada berlakunya permasalahan ini. Apabila tiada pemantauan dan penguatkuasaan juga lemah, maka guru – guru menjadi agresif kepada murid kerana mereka tidak perlu risau akan akibat daripada tindakan mereka. Pemantauan yang lemah ini, menyebabkan guru dengan sewenangnya bertindak mengikut perasaan tanpa mempedulikan perasaan murid.

Masalah ini jika tidak dibendung akan mendatangkan kesan yang amat buruk kepada banyak pihak terutamanya kepada guru sebagai ahli profesional dan murid – murid. Antara kesan yang boleh dilihat daripada permasalahan ini adalah merosotnya prestasi kerja guru dan pencapaian pelajar di sekolah. Masyarakat juga akan memandang sinis akan profesion keguruan dan tidak yakin dengan kebolehan guru dalam mendidik anak – anak mereka.





4.0  Cadangan / Solusi

Melalui pembacaan saya, isu ini boleh dibendung dengan usaha kerajaan serta pihak sekolah dalam memupuk keperibadian guru yang unggul.

4.1.  Pemantauan daripada pihak pentadbir

Pihak pentadbir perlulah sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa terhadap prestasi kerja guru – guru di sekolah. Dengan adanya pemantauan secara berterusan, maka peluang guru untuk melakukan tingkah laku negatif akan berkurangan kerana guru mengetahui bahawa persekitarannya sedang dipantau. Pihak pentadbir boleh mengenakan tindakan tegas seperti tindakan tatatertib kepada guru yang terbabit dengan kesalahan tingkah laku ini. Selain itu, pihak pentadbir juga boleh memberi khidmat nasihat kepada guru tersebut melalui sesi kaunseling.

4.2.  Bantuan Rakan Sejawat

Rakan sejawat juga perlu memainkan peranan dalam maenangani masalah ini. Rakan sejawat perlulah menjadi teladan kepada rakan – rakan yang bermasalah memberikan nasihat dan dorongan supaya guru yang terlibat dalamtingkah laku negatif ini dapat berubah menjadi guru yang lebih baik. Sokongan orang sekeliling adalah sangat penting sebagai pemangkin semangat guru untuk melakukan sesuatu dengan lebih baik.
4.3. Ganjaran Kepada Guru

Selain dari meningkatkan diri dengan penambahbaikkan dalam bidang ilmu, para pendidik juga ditawarkan dengan ganjaran-ganjaran dan kenaikan pangkat bagi mereka yang benar-benar layak. Contohnya, guru cemerlang untuk mengiktiraf pengorbanan guru-guru yang benar-benar komited terhadap tugas yang diberikan, ganjaran diberikan kepada mereka dengan mengiktrif mereka sebagai guru cemerlang. Konsep guru cemerlan yang diperkenalkan oleh KPM ialah sebagai guru yang istimewa, dedekasi dan bermotivasi tinggi serta mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam bidang tugas mereka. Tanpa menunggu untuk kenaikan pangkat secara “Time-Based”, mereka boleh dinaikkan keg red yang lebih tinggi iaitu dari DGA6 (DGA29) kepada DGA5(DGA32)

4.4.  Pemilihan Calon Guru Yang Benar-Benar Layak

Faktor keupayaan menyesuaikan  diri dengan persekitaran kerja dalam bentuk kesesuaian jenis peronaliiti seseorang dengan persekitaran itu. Apabila jenis personality tersebut tidak sepadan dengan persekitarannya, maka berlakulah punca kepada sikap tidak betminat terhadap kerja mahupun perkembangannya. (Holland, 1973)


Sekiranya profesion ini adalah pilihan yang terakhir bagi guru, minat utama terhadap profesion ini sebenarnya hanya sedikit sahaja dan akibatnya selepas 2 atau 3 tahun menjadi guru, kebosanan terhadap tugas akan berlaku. Kajian yang dijalankan terhadap beberapa orang guru mengenai kejadian ‘Burn-out’  terhadap guru jelas menunjukkan faktor bahawa guru yang seringkali menghadapi masalah ini adalah guru yang kurang berminat sejak dari awal lagi dalam bidang yang diceburi ( Wan Mohd Zahid Nordin).

4.5.  Mengurangkan Penempatan Guru Sandaran Tidak Terlatih
Kekosongan jawatan guru samada di sekolah rendah mahu pun menengah biasanya diisi oleh guru sandaran yang tidak mendapat latihan secara formal samada di maktab perguruan atau pun universiti. Kita tidak dapat nafikan mengenai keperluan mengisi kekosongan tersebut atas dasar pendidikan pelajar di sekolah. Tetapi pandangan masyarakat terhadap profesion keguruan ini akan menjadi lebih pudar lagi apabila ada sesetangah pihak yang menganggap tanpa mengikuti latihan perguruan di tempat-tempat tertentu, mereka masih boleh menjadi seorang guru.

Lambakan guru-guru sandaran tidak terlatih di sekolah dengan sendirinya akan merendahkan martabat profesion keguruan tersebut. Sepatutnya kekosongan jawatan guru di sekolah menengah diisi dengan kehadiran guru-guru yang telah menamatkan pengajian secara separuh masa atau PJJ yang terlalu ramai di sekolah rendah, manakala di peringkat sekolah rendah ianya diisi dengan guru-guru lepasan diploma dari maktab perguruan.



5.0 Kesimpulan

Sekolah merupakan agen kebudayaan dan sebahagian daripada fungsi pengajaran adalah untuk melahirkan nilai-nilai kebudayaan. Dengan itu, proses sosialisasi pelajar-pelajar merupakan satu fungsi yang sah serta positif untuk dikendalikan oleh pihak sekolah. Menurut Durkheim, peranan guru pendidikan moral dan tugas sekolah adalah untuk mengajar pelajar-pelajar tentang nilai-nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan. Beliau berpendapat bahawa keluarga terlalu kecil dan terlalu berunsur peribadi untuk menggambarkan keseluruhan sistem sosial. Juga, beliau mengganggapkan guru sebagai agen yang utama dan merupakan pertalian yang kritikal dalam proses pengaliran kebudayaan.

Profesion keguruan adalah merupakan satu profesion yang sangat mulia. Jasa dan sumbangan yang diberikan oleh warga pendidik untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, beriman dan mengamalkan nilai-nilai yang baik tidak harus dipandang rendah oleh masyarakat. Pemilihan profesion ini sebagai bidang terakhir untuk diceburi adalah satu tanggapan yang salah. Masayarakt harus sedar cabaran dan bebanan tugas yang dihadapi oleh golongan guru sebelum mengambil jalan mudah dengan memandang rendah golongan ini.

Guru juga perlu menjalankan peranannya sebagai individu yang paling dekat dengan pelajar semasa pelajar berada di sekolah. Oleh itu guru mestilah melaksanakan peranannya sebagai pengganti ibu bapa. Ini amat penting kerana hubungan yang rapat akan menerbitkan rasa hormat pelajar kepada guru atau orang lain di sekolah. Pelajar akan rasai dihargai dan diberi perhatian. Oleh itu, tidak akan ada mana-mana pelajar beranggapan kehadiran mereka di sekolah seolah-olah tidak disedari oleh orang lain. Ini akan dapat mengelakkan mereka daripada melakukan vandalisme dengan alasan ingin menarik perhatian rakan atau guru.

Tugas guru adalah untuk memastikan suasana pengajaran dan pembelajaran sentiasa memelihara dan menyuburkan fitrah  pelajar supaya harmoni dan sihat. Fitrah atau tabii murni inilah akan membina tingkah laku normal. Inilah etika guru yang diharapkan. Sekali lagi, tugas ini hanya akan berjaya dilaksanakan sekiranya guru merealisasikan amanah ibadah dan pembangunan insan dalam menjalankan tugas pengajaran dan pembelajaran.

Oleh itu, usaha melahirkan warga pendidik yang berkualiti, komited dan berdedikasi perlu diteruskan manakala hal ehwal kebajikan mereka perlu dipelihara sejajar dengan keyakinan dan kepercayaan kerajaan bahawa pendidikan adalah wadah pembinaan modal insan yang berkesan. Modal lain seperti wang, teknologi dan bangunan tidak mungkin sempurna jika tidak ditunjangi dengan modal insan. Oleh itu, konsep pendemokrasian yang memberi peluang adil dan sama rata kepada semua rakyat mendapatkan pendidikan berkualiti wajar diteliti dan diberi perhatian. Usaha Kementerian Pendidikan untuk memartabatkan profesion ini perlu dipandang tinggi.



Bibliografi
Buku:

1.                  Bakhtiar Mansor (1993), “Perguruan:Satu Perspektif  Perkembangan Kerjaya” dalam Jurnal Pengurusan Pendidikan, Institut Aminuddin Baki, Kuala Lumpur.

2.                  Kamus Dewan Edisi Baru, (1989), Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.

3.                  Mohamed Nor Che’ Nor (1990). Asas-Asas Pendidikan–Satu Pengenalan. Flo Enterprise Sdn. Bhd. Petaling Jaya, Selangor.
4.                 
Mok Soon Sang, 1996. Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman.

5.                  Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Wong Kiet Wah, Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru,  2010, Kuala Lumpur terbitan Oxford Fajar Sdn Bhd

6.                  Syed Ismail Bin Syed Mustafa, Ahmad Subki Bin Miskon, Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru,  2010, Kuala Lumpur terbitan Multimedia Sdn Bhd.

7.                  Yazid Abdul Manap (2001), “Memartabatkan Profesion Keguruan Tanggungjawab Bersama”, dalam Bestari Koleksi Guru Johor, JPN Johor, hlm 15 – 33.




Laman web :

1.    Behavioural Default. Diakses pada 27 Ogod 2012:

2.    Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia (2010). Nilai dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam. Diakses pada 28 Ogos 2012:

3.    Perubahan Sikap : diakses pada 17 Ogos 2012














REFLEKSI
          
Pada  1 Ogos 2012 yang lalu, saya telah menerima tugasan daripada pensyarah subjek Pendidikan mengenai Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesionalisme (EDU 3108). Dalam tugasan ini, saya dan rakan dikehendaki untuk mencari sebuah artikel mengenai isu etika yang berlaku pada masa sekarang.  Tugasan untuk analsisi isu adalah individu manakala kami dikehendaki menyediakan 1 blog untuk kerja bekumpulan.

Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi kerana dengan limpah kurnianya, saya telah dapat menyiapkan Kerja Kursus dengan jayanya. Isu yang saya pilih ialah isu Tingkah laku guru di bawah topik Kepedulian Guru. Seperti yang kita sedia maklum, tingkah laku guru selalunya menjadi ikutan pelajarnya. peribahasa ‘Guru kencing berdiri,  anak murid kencing berlari’ ini sangat sinonim dengan peranan guru sebagai role model kepada pelajarnya. Topik ini memberikan saya satu pengalaman dan ilmu yang bermanfaat untuk dijadikan teladan pada masa akan datang.

Daripada artikel yang saya abaca, 8 tingkah laku guru yang negatif ini seharusnya dijadikan sebagai peringatan supaya kita tidak melakukan hal yang sama pada masa hadapan. Sikap membeza-bezakan pelajar serta memandang rendah pelajar tidak seharisnya berlaku kerana setiap individu itu adalah istimewa pada pandangan yang berbeza. Melalui pengahsilan tugasan ini, saya memperolehi banyak ilmu serta menambah pengetahuan baru tentang tatatertib guru dan peranan seorang guru yang unggul.


Sumbangan idea serta maklumat tambahan dalam penghasilan tugasan yang diperolehi melalui perbincangan dengan rakan-rakan ini amatlah saya hargai. Tidak dilupakan buat rakan-rakan seperjuangan yang banyak memberi dorongan dan tunjuk ajar kepada saya, terima kasih daun keladi. Sesungguhnya, semangat yang dipinjam tatkala badan dan minda terasa lebih dengan kesibukan dan lambakan tugasan yang lain membantu saya untuk terus bergerak dan bersemangat untuk menyiapkan tugasan.

            Sumber maklumat daripada laman web dan buku banyak membantu saya untuk menyiapkan tugasan kali ini. Buku-buku tentang pendidikan dan keguruan menjadi rujukan semasa menghasilkan tugasan ini. Saya dan rakan-rakan juga bertukar-tukar maklumat yang kami perolehi bagi menyelesaikan tugasan ini. Maklumat daripada laman web juga banyak membantu saya dalam membuat rujukan.

      Akhir sekali, saya ucapkan kepada jutaan terima kasih Puan Latifah A.Jamil selaku pensyarah bagi mata pelajaran Asas Kepimpinan Dan Perkembangan Profesional Guru yang memberi tunjuk ajar kepada saya semasa pengajaran di dalam kelas mahupun luar kelas.

Anis Binti Abd Rahim
8 PISMP Pengajian Sosial 1

No comments:

Post a Comment